kanser payu dara




Kanser payudara merupakan sejenis penyakit di mana terdapatnya sel-sel kanser (malignan) dalam tisu-tisu payudara.

Penerangan 

Kanser payudara boleh berlaku di mana-mana bahagian payudara termasuklah:
Lobus yang menghasilkan susu
Duktus yang menghantar susu ke puting
Tisu lemak payudara (jarang berlaku)
Biasanya, kanser payudara boleh dibahagikan kepada dua bentuk: invasif dan tidak invasif. Dalam kanser tidak invasif, sel-sel kanser hanya tertumpu di kawasan asalnya manakala di dalam kanser invasif, sel-sel kanser tersebut telah merebak ke tisu-tisu di sekeliling payudara.
Kanser payudara yang paling biasa berlaku ialah kanser duktus yang terjadi dalam sel-sel duktus payudara. Kanser lobular pula bermula dari lobus atau lobul. Kanser jenis ini selalunya terdapat di beberapa tempat dalam payudara. Kanser payudara inflamasi pula merupakan kanser payudara yang jarang-jarang berlaku. 

Asas Saintifik?
Bagi payu dara yang normal, sel-selnya mengalami pertumbuhan yang terkawal dan teratur.
Hormon estrogen bertangungjawab dalam pertumbuhan dan pembentukan sel-sel payudara. Ketidakimbangan hormon dikatakan memainkan peranan yang penting dalam patogenesis kanser. Walau bagaimanapun pelbagai pencetus pertumbuhan kanser dan onkogen terutamanya He-2/nev telah dikenalpasti sebagai penyebab kanser payudara yang penting. Onkogen merupakan gen yang mungkin bertanggungjawab dalam pembentukan sel kanser. Fungsi gen ini boleh berubah dan sel-sel boleh terpesong daripada proses kawalan pertumbuhan sel yang normal. Pembentukan kanser merupakan proses yang kompleks yang melibatkan pelbagai faktor lain seperti genetik, kawalatur hormon dan juga keadaan persekitaran.

Perebakan
Kanser payu dara merebak melalui cara-cara berikut :
Kanser tumbuh dan membesar begitu cepat dan menyerang kawasan setempat. Ia juga akan menyerang kulit dan dinding otot dada.
Kanser payu dara merebak ke bahagian limfa melalui saluran darah dan tersebar ke seluruh badan terutamanya ke bahagian tulang (tulang belakang, tulang pinggang, tengkorak dan tulang dada), hati, paru-paru, kelenjar adrenal dan ovari.
Adalah dianggarkan jika kanser payudara berukuran 1.6 sm., ia mungkin telah berada dalam payudara selama sekurang-kurangnya 2 tahun. Pada waktu ini, sel kanser mungkin telah masuk ke dalam saluran darah ataupun sistem limfatik dan seterusnya merebak ke seluruh badan.
Oleh itu, walaupun ketumbuhan kanser payudara dirasakan tertumpu pada payudara sahaja, tetapi dianggarkan lebih 35% darinya mungkin telahpun merebak atau mengalami metastasis. 

Faktor-faktor Risiko?
Oleh kerana anda seorang wanita, anda memilki risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara. Namun begitu, terdapat beberapa faktor lain yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara ini.

Faktor Risiko yang Tinggi
1. Umur; umur merupakan salah satu faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Pesakit yang lebih tua memiliki risiko yang lebih tinggi. 1 daripada 500 wanita dalam umur 30'an mempunyai kebarangkalian yang tinggi mendapat kanser payu dara. Namun begitu, angka ini meningkat kepada 1 dalam 50 orang apabila umur menjangkau 40 - 45 tahun.
2. Sejarah keluarga - terdapat juga beberapa bukti bahawa penyakit ini boleh diwarisi tetapi peranan genetik di dalam hal ini masih belum difahami sepenuhnya. Wanita yang mempunyai ibu atau anak perempuan atau kakak/adik yang menghidap penyakit ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara
3. Sejarah mengidap kanser - pernah menghidap kanser payudara sebelum ini. Ini mungkin merupakan faktor yang penting dalam pembentukan kanser payudara.
4. Pernah menghidapi penyakit payudara Benigna Proliferatif
5. Wanita yang berasal dari Amerika Utara/Eropah Utara; insidens dan kematian disebabkan kanser payudara adalah lebih tinggi berbanding dengan negara-negara lain seperti Jepun 


Faktor Risiko Sederhana
1. Sejarah haid; perempuan yang datang haid lebih awal dan lewat putus haid memiliki risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit ini. Telah terbukti bahawa wanita yang telah melalui masa haid lebih dari 40 tahun mempunyai 2 kali ganda risikonya untuk mendapat kanser payudara berbanding dengan mereka yang melalui haid dalam masa yang pendek.
2. Sejarah kelahiran; wanita yang tidak memiliki anak atau melahirkan anak pertamanya pada usia yang lanjut, memiliki risiko yang lebih tinggi untuk memperolehi penyakit ini. Adalah dipercayai disebabkan oleh pendedahan kepada estrogen yang berlebihan.
3. Estrogen eksogenus; wanita yang pernah mengambil estrogen dalam bentuk pil perancang keluarga ataupun terapi penggantian estrogen lebih berisiko untuk memperolehi penyakit ini. Ini kerana mereka terdedah kepada aras estrogen yang tinggi
4. Pernah mendapat kanser ovari atau rahim.
      5. Alkohol; terdapat kajian yang telah menunjukkan bahawa ada kaitannya di antara  pengambilan alkohol dengan risiko pembentukan kanser payudara. 

Faktor Risiko Lain yang Lebih Ringan
Diet yang tinggi lemak juga mempunyai hubungkait dengan risiko kanser payudara. Kaitan ini telah dikenalpasti berdasarkan pelbagai kanser payudara yang menyerang masyarakat yang mengamalkan diet yang berbeza. Walau bagaimanapun, masih tiada satu bukti yang kukuh untuk menyokong teori ini dan kajian masih lagi dijalankan untuk mengesahkan perkara ini.

Insidens
Kanser payudara :
Merupakan penyebab utama kematian akibat kanser di kalangan kaum wanita di Malaysia
Biasanya berlaku di kalangan wanita sahaja dan jarang pada lelaki.
Merupakan salah satu dari kanser yang amat biasa menyerang kaum wanita
Jarang berlaku pada wanita di bawah umur 30 tahun
Insidensnya meningkat dengan umur
 
Tanda-tanda dan gejala
Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, pengeluaran cecair lelehan dari puting, dan sakit atau ketidakselesaan di sekitar payudara.
Ketumbuhan yang terjadi pada pesakit merupakan perubahan utama yang dialami oleh pesakit. Ketumbuhan ini biasanya tidak sakit dan terdapat pada sebelah payudara sahaja. Ianya keras dan pejal dan memiliki tepian yang tidak licin.
Lelehan yang keluar dari puting kadangkala mengandungi darah dan berair dan datang secara spontan tanpa sebarang rangsangan.
Apabila kanser telah melarat dan memasuki peringkat yang lebih berbahaya, payu dara dan puting akan mengalami perubahan bentuk. Akan terbentuk lekukan pada kulit payudara dan teksturnya kelihatan dan dirasai seperti kulit buah oren. Bentuk dan saiz payudara juga akan berubah.

Komplikasi
Dua komplikasi utama kanser payudara ialah komplikasi setempat dan komplikasi disebabkan perebakannya atau mengalami metastasis.
Komplikasi setempat termasuklah pembentukan ulser pada payudara, sebagaimana yang berlaku pada kanser payudara inflamasi dan kehadiran semula kanser tersebut di tempat yang sama selepas pembedahan.
Metastasis adalah satu proses di mana sel-sel kanser telah merebak ke bahagian-bahagian lain di seluruh tubuh badan. Dalam proses ini, sel-sel kanser telah mencerobohi saluran darah dan saluran limfa untuk memasuki sistem peredaran darah dan limfa. Sel-sel kanser ini kemudiannya akan bertapak di organ-organ lain dan memulakan pertumbuhan baru. Tempat utama yang diserang melalui metastasis ini adalah tulang, hati dan paru-paru.
Ujian-ujian
Pemeriksaan Fizikal
Dalam pemeriksaan fizikal, doktor akan memeriksa bahagian luar payudara termasuklah di bahagian bawah lengan untuk mengenalpasti sebarang ketumbuhan atau perubahan yang wujud. Doktor akan dapat menentukan saiz, tekstur dan pergerakannya atau mobiliti ketumbuhan tersebut. Doktor mungkin akan mencadangkan supaya mamogram dilakukan.

Mamografi
Mamografi biasanya dilakukan untuk menyokong pemeriksaan fizikal kerana proses ini mampu mengesan perubahan pada sel dan tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan melalui pemeriksaan fizikal yang menggunakan tangan. Mamografi adalah X-ray yang menghasilkan imej payudara pada filem. Imej yang terhasil ini dipanggil mamogram. Jika ada kawasan pada mamogram yang mencurigakan atau tidak jelas, pemeriksaan tambahan mungkin dijalankan.

Ultrasonografi
Ultrasonografi menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk menentukan sifat ketumbuhan tersebut sama ada pepejal atau berisi bendalir.

Biopsi
Biopsi adalah ujian lanjutan bagi memeriksa tisu-tisu kanser. Sedikit sampel tisu payudara diambil dan diperiksa menggunakan mikroskop. Terdapat dua jenis biopsi:
Biopsi aspirasi - menggunakan jarum untuk mengambil sebahagian kecil tisu daripada ketumbuhan di payudara.
Biopsi pembedahan - di mana ketumbuhan atau kawasan yang disyaki dipotong dan dikeluarkan untuk diperiksa melalui mikroskop.

Peringkat-Peringkat dalam Kanser Payudara
Apabila kanser payudara telah dikenalpasti, beberapa ujian lain akan dijalankan untuk memastikan samada sel kanser tersebut telah merebak ke bahagian lain. Proses ini dikenali sebagai pengkelasan. Pengkelasan dapat membantu doktor untuk merancang rawatan yang sesuai berdasarkan peringkat penyakit ini.
Berikut adalah pengkelasan yang digunakan untuk kanser payudara:

Karsinoma In-Situ (Kanser Setempat)
Merupakan kanser pada peringkat paling awal yang berlaku dalam lebih kurang 15 -20% dari semua kes kanser payudara. Pesakit yang mengalami keadaan ini memiliki risiko sebanyak 25% untuk memperolehi kanser payudara dalam masa 25 tahun akan datang.
Terdapat dua jenis: kanser lobular dan kanser duktus yang masing-masing membawa risiko yang berbeza.

Peringkat I
Ketumbuhan (tumor) berukuran kurang dari 2 sm (lebih kurang 1 inci) dan masih belum merebak keluar dari payudara.

Peringkat II
Termasuklah salah satu dari yang berikut:
Tumor berukuran kurang dari 2 sm, tetapi telah merebak ke nodus limfa di bawah lengan
Tumor berukuran 2-5 sm (1 - 2 inci) yang mungkin telah ataupun belum merebak ke nodus limfa di bawah lengan.
Tumor yang berukuran lebih daripada 5 sm (lebih daripada 2 inci) tetapi masih belum merebak ke nodus limfa di bawah lengan.

Peringkat III
Peringkat ini dibahagikan kepada peringkat IIIA dan IIIB.
Peringkat IIIA merupakan salah satu daripada yang berikut :
Tumor yang lebih kecil daripada 5 sm dan telah merebak ke nodus limfa di bawah lengan. Nodus limfa tersebut telah melekat sesama sendiri ataupun melekat dengan struktur lain.
Tumor yang lebih besar daripada 5 sm dan telah merebak ke nodus limfa di bawah lengan Peringkat IIIB pula terdiri dari salah satu daripada jenis berikut:
Tumor telah merebak ke tisu di sekitar payudara (kulit atau dinding dada, termasuklah tulang rusuk dan otot di kawasan dada)
Tumor telah merebak ke nodus limfa, dalam dinding dada di sepanjang tulang dada.

Peringkat IV
Tumor telah merebak ke organ-organ lain, biasanya tulang , paru-paru, hati atau otak
Tumor telah merebak ke kulit dan nodus limfa di leher, berdekatan dengan tulang selangka.

Kanser Payudara Inflamasi
Kanser payudara inflamasi adalah sejenis kanser payudara yang khusus dan jarang berlaku. Payudara tersebut kelihatan seperti mengalami keradangan disebabkan oleh warnanya yang kemerahan dan keadaannya panas. Kulit payudara kelihatan menggerutu dan berbintil-bintil. Kanser payudara jenis ini cepat merebak.
Kejadian Semula
Kejadian semula ini bermaksud kanser tersebut muncul kembali setelah dirawat. Ia mungkin tumbuh dalam payudara, tisu lembut di dada ataupun di bahagian lain-lain dalam badan.
Rawatan Farmakologi

Kemoterapi
Kemoterapi merupakan rawatan menggunakan dadah antikanser. Dadah ini boleh diberikan secara intravena (disuntik ke dalam salur darah) atau secara oral (ditelan). Dadah ini akan bergerak melalui saluran darah dan bertindak ke atas sel-sel kanser di seluruh badan. Kemoterapi digunakan untuk :
Mengurangkan kemungkinan berulang semula kanser tesebut.
Mengecutkan tumor sebelum pembedahan
Mengawal penyakit ini apabila kanser telah didapati merebak ke tisu-tisu lain dalam badan.
Contoh-contoh dadah antikanser yang biasa digunakan ialah Siklofosfamid, Metotreksat, Doksirubicin. Biasanya gabungan beberapa dadah antikanser adalah lebih berkesan dari menggunakan satu jenis dadah sahaja. Contoh kombinasi yang digunakan ialah Siklofosfamid bersama Metotreksat dan Flurourasil (singkatannya CMF).

Terapi hormon
Terapi hormon melibatkan penggunan dadah anti-estrogen untuk menyekat pertumbuhan sel-sel kanser. Estrogen adalah hormon semula jadi yang ada pada setiap wanita. Hormon ini boleh menggalakkan pertumbuhan sel kanser. Dadah anti-estrogen yang biasa digunakan ialah Tamoxifen. Telah dikenalpasti bahawa status reseptor estrogen (ER+ve dan PR+ve) yang ada pada seseorang wanita itu dalam jumlah yang tertentu boleh membantu dalam rawatan ini.

Komplikasi dari rawatan
Pembedahan, terapi sinaran, kemoterapi dan terapi hormon mempunyai kesan sampingan masing-masing
Kesan sampingan pembedahan termasuklah bengkak, sakit dan keras di tempat pembedahan. Pesakit juga mengalami kesukaran untuk menggerakan lengan dan bahu mereka dalam masa beberapa hari selepas pembedahan.
Kesan sampingan kemotarapi bergantung kepada jenis dadah yang digunakan, jumlah dadah yang diambil dan jangkamasa rawatan. Kesan sampingan kemoterapi termasuklah pening kepala, muntah-muntah, hilang selera makan, keguguran rambut, ketidakselesaan mulut dan gangguan kitaran haid.
Di dalam terapi sinaran, sinaran bertenaga tinggi digunakan untuk membunuh sel-sel kanser. Kesan sampingan sementara yang muncul termasuklah payudara terasa bengkak dan berat, perubahan pada kulit tempat radiasi ditujukan dan kelesuan.
Di dalam terapi hormon, kesan sampingannya berkaitan dengan pengurangan fungsi estrogen terhadap organ reproduktif atau pembiakan wanita. Pesakit akan mengalami pendarahan melalui faraj (yang bukan haid), peningkatan berat badan dan gangguan emosi. Dadah-dadah jenis ini juga boleh menyebabkan pembekuan darah dalam saluran darah terutamanya di bahagian kaki.
Rawatan untuk pesakit kanser payudara memerlukan pelbagai disiplin rawatan. Setiap pesakit memerlukan lebih dari satu rawatan berikut:
Pembedahan (membuang kanser melalui proses pembedahan)
Terapi sinaran (radiasi) (menggunakan x-ray pada dos yang tinggi untuk memusnahkan sel-sel kanser)
Kemoterapi (menggunakan dadah untuk membunuh sel-sel kanser)
Terapi hormon (menggunakan dadah yang dapat mengubah fungsi hormon atau membuang organ yang menghasilkan hormon tersebut seperti ovari)

RAWATAN BUKAN FARMAKOLOGI

Pembedahan
Pembedahan disarankan sebagai rawatan bagi kebanyakan kanser payu dara. Pembedahan boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu lumpektomi, prosedur pembuangan sebahagian daripada payu dara dan mastektomi
Lumpektomi adalah pembedahan yang paling ringan. Ia hanya membuang tumor dan sebahagian kecil daripada tisu di sekelilingnya. Pembedahan ini hanya dilakukan untuk kanser peringkat permulaan sahaja
Prosedur membuang sebahagian dari payu dara - dijalankan untuk membuang tumor yang lebih besar. Biasanya nodus limfa yang berdekatan juga akan dibuang
Dalam mastektomi, keseluruhan payu dara dibuang. Prosedur ini hanya dilakukan apabila tumor telah merebak ke bahagian lain yang lebih jauh.
 
Terapi radiasi
Terapi sinaran adalah rawatan yang tidak menyakitkan. Ia menggunakan sinar bertenaga tinggi untuk memusnahkan sel-sel kanser. Ia biasanya disarankan selepas lumpektomi untuk memusnahkan segala sel-sel kanser yang masih ada bagi mengelakkan kanser tersebut berulang. Biasanya sinaran tersebut ditujukan dari satu sumber di luar badan di bahagian yang terlibat dengan kanser.

Pemantauan / Amaran

Pemantauan dan Langkah Berjaga-jaga
Kanser payudara adalah penyakit yang serius dan boleh membawa maut. Dengan mengesan awal, pesakit kanser memperolehi 95% untuk sembuh. Pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa.

Apakah pemeriksaan yang diperlukan oleh seorang wanita?
Wanita yang berumur antara 20 hingga 40 tahun perlu melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan dan perlu berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan payudara setiap tiga tahun. Pemeriksaan mamografi awal perlu dilakukan apabila mencapai umur antara 35 hingga 40 tahun. Pemeriksaan awal ini diperlukan sebagai rujukan di masa akan datang. Mereka yang berumur lebih daripada 40 tahun perlu melakukan PSP sekali dalam sebulan dan melakukan pemeriksaan fizikal yang kerap. Pemeriksaan mamografi rutin perlu dijalankan setiap tahun bagi wanita yang telah berumur 50 tahun ke atas. Wanita berumur 40 - 49 tahun perlu berjumpa doktor untuk menentukan keperluan menjalani mamografi.
Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP)
Periksa payudara anda 3 hari selepas haid anda berakhir atau pada hari pertama setiap bulan jika anda sudah tiada haid. Terdapat tiga kaedah PSP yang anda boleh pilih untuk melakukan pemeriksaan ini. Lakukan salah satu daripada kaedah-kaedah di bawah yang anda rasa paling selesa.

Kaedah 1
Dalam kaedah ini, periksa payudara anda sewaktu berbaring dengan meninggikan bahu kanan menggunakan bantal atau tuala.
Tekan payudara sebelah kanan menggunakan tangan kiri dengan pergerakan membulat dan rasakan sebarang ketumbuhan atau penebalan kulit.
Picit puting dan kawasan di sekelilingnya perlahan-lahan dan periksa untuk memastikan kewujudan cecair jernih atau berdarah.
Ulangi langkah-langkah yang sama pada payudara sebelah kiri

Kaedah 2
Anda perlu berdiri di hadapan cermin untuk memeriksa payudara anda menggunakan kaedah ini
Periksa payudara anda semasa berdiri tegak, tangan diangkat ke atas, dan kemudian memeriksa payudara dengan tangan di pinggang.
Perhatikan sebarang perubahan dari segi saiz, bentuk, kehadiran lekukan atau sebarang perubahan dari segi rupabentuk dan kedudukan puting. Pastikan anda memeriksa kedua-dua belah payudara.

Kaedah 3
Dengan kaedah ini anda boleh melakukan PSP sewaktu mandi iaitu apabila kulit anda basah dan bersabun.
Pastikan jari-jari tangan kiri anda adalah rata dan lalukannya pada payudara kanan dengan tangan kanan diangkat ke atas.
Ulangi kaedah yang sama untuk payudara sebelah kanan
Anda mungkin dapat mengesan beberapa perubahan atau kewujudan ketulan dalam payudara. Kebanyakan ketumbuhan tersebut bukanlah kanser. Kadangkala ketulan tersebut menyakitkan dan keras disebabkan kitaran haid. Cara terbaik untuk mengesahkan ketumbuhan yang anda alami ialah dengan merujuk kepada doktor untuk penyiasatan lanjut dan pengesahan.

Mamografi
Mamografi bukan sahaja dianggap sebagai ujian penyiasatan bagi penyakit ini, tetapi ia juga merupakan satu prosedur pemantauan yang penting. Ujian mamografi rutin membolehkan kanser dikesan lebih awal. Mamografi boleh mendatangkan faedah kepada wanita yang mengamalkannya sebagai satu ujian penyaringan bagi kanser payudara.
Wanita berumur 40 tahun dan lebih perlu menjalani ujian ini sekali dalam 1 hingga 2 tahun
Wanita yang berumur lebih daripada 50 tahun perlu menjalani ujian ini setiap tahun
Jika doktor anda menjumpai ketumbuhan pada payudara anda, anda perlu menjalani ujian ini secara berterusan atau berkala tanpa mengira umur anda
 
Apa itu mamografi
Mamografi ialah satu proses di mana x-ray yang menghasilkan imej payudara pada filem atau kertas yang disalut selenium. Imej tersebut dipanggil mamogram. Prosedur ini biasanya memperlihatkan 2 sudut bagi setiap satu payudara.
Fungsi:
Mamografi boleh mengenalpasti kanser walaupun dari saiz yang kecil yang tidak dapat dirasa oleh wanita tersebut ataupun doktor yang berpengalaman.
Mamografi juga mampu menunjukkan perubahan lain pada tisu payudara yang merupakan tanda-tanda awal kanser payudara
Mamogram dasar (baseline mammogram) adalah penting sebagai garis panduan untuk rujukan di masa akan datang. Bersama-sama dengan pemeriksaan fizikal, mamografi telah terbukti sangat berkesan untuk menyelamatkan nyawa, terutamanya bagi wanita yang berumur 50 tahun ke atas yang tidak mempamerkan sebarang gejala kanser payudara.

Adakah ia selamat?
Dalam beberapa tahun ini, jumlah sinaran yang diperlukan untuk menghasilkan mamogram yang berkualiti tinggi telah diturunkan parasnya.
Syarat untuk mamogram
Jika doktor mencadangkan bahawa anda perlukan mamogram, lakukanlah dengan segera. Di antara gejala-gejala kanser payudara yang penting adalah perubahan bentuk atau kontur payudara, pembentukan lekukan, perubahan pada kulit di sekeliling puting, terkeluar bendalir dari puting, ketumbuhan atau penebalan kulit berlaku atau segala perubahan yang dirasa tidak normal.
Mamografi adalah amat berfaedah bagi wanita yang mengamalkannya sebagai salah satu daripada pemeriksaan kanser rutin mereka.

Prognosis
Bergantung kepada:
Peringkat tumor
Saiz tumor
Bilangan nodus limfa yang terlibat
Status reseptor estrogen
Perkara-perkara lain

Dengan pengesanan awal, pesakit kanser payudara mempunyai 95% peluang untuk meneruskan hidup

Pencegahan
Sebarang faktor yang boleh meningkatkan kebarangkalian seseorang itu mendapat kanser payudara diketahui sebagai faktor risiko. Sesetengah faktor risiko itu boleh dikawal. Ia dikenali sebagai faktor risiko bolehubah.
Faktor risiko boleh diubahsuai termasuklah gaya hidup seseorang seperti pengambilan alkohol, berat badan dan diet. Menurunkan berat badan yang berlebihan boleh membantu mengurangkan risiko kanser payudara. Senaman yang sesuai yang disertai dengan pemakanan yang seimbang boleh membantu menurunkan berat badan. Rujuk kepada doktor anda untuk mengetahui senaman yang paling sesuai untuk anda. Diet yang tinggi lemak dikatakan mempunyai kaitan dengan kanser payudara. Untuk menurunkan risiko ini, ambil makanan rendah lemak dan tinggi kandungan seratnya. Contoh makanan yang tinggi kandungan seratnya ialah buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kanser payudara boleh dirawat jika ia masih berada di peringkat awal. Untuk mengelakkan komplikasi selanjutnya, setiap wanita perlu mengamalkan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), dapatkan pemeriksaan klinikal payudara secara tekal dan lakukan saringan mamografi pada jangka waktu yang tetap. Saringan dan pemantauan secara tekal boleh mengesan sebarang perubahan pada payudara dan mengelakkan kesan yang tidak diingini.


Apa itu kanser Payudara?

Kanser payudara marupakan kanser yang paling tinggi kejadiannya dan penyebab utama kematian di kalangan wanita Malaysia. Kanser payudara berpunca dari sel- sel dalam tisu payudara yang berkembang dalam keadaan yang tidak terkawal. Jika tidak dikesan dan dirawat secepat mungkin, kanser payudara boleh merebak ke kelenjar limfa dan bahagian badan yang lain seperti tulang, paru- paru dan hati.
Apa Menyebabkan Kanser Payudara?

Penyebab sebenar kanser payudara tidak di ketahui. Setiap wanita berusia 20 tahun ke atas adalah berisiko menghadapi kanser payudara. Faktor- faktor berikut mungkin menambahkan risiko wanita menghidap kanser payudara:
-
Usia yang meningkat.
-
Mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara.
-
Telah mendapat kanser pada satu payudara.
-
Mula datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur melebihi 50 tahun.
-
Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun.
-
Mengambil jenis makanan yang mengandungi banyak lemak haiwan.

Apa Yang Anda Boleh Lakukan Untuk Mencegah Kanser Payudara?
Kanser payudara boleh dicegah jika dikesan dan dirawat awal. Kanser payudara adalah satu kanser yang paling mudah dikesan.
Pegesanan boleh dilakukan dengan Pemeriksaan Sendiri Payudara. Semua wanita yang berusia 20 tahun dan lebih melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan sepanjang hayat mereka. Bagi wanita yang melebihi 30 tahun mereka perlu juga mendapat Pemeriksaan Payudara oleh seorang doktor atau kakitangan perubatan yang lain setiap tahun.
Pemeriksaan payudara secara tetap akan membolehkan seorang wanita mengesan payudara pada peringkat yang awal di mana rawatan adalah lebih berkesan.

BAGAIMANA MELAKSANAKAN PSP
(PEMERIKSAAN SENDIRI PAYUDARA)

Bila Mesti Melakukan PSP?

Anda mesti melakukannya setiap bulan. Jika anda masih datang haid, PSP mestilah dilakukan di antara hari ke 7 hingga ke 10 selepas bermulanya haid anda. Sekiranya jangka masa haid anda tidak teratur atau anda sudah putus haid, PSP mesti dilakukan pada satu hari yang ditetapkan setiap bulan. Pilih hari yang mudah diingati, seperti hari pertama atau terakhir pada bulan tersebut.

Bagaimana Melakukan PSP?

Ia boleh dilakukan dengan 2 cara iaitu, melihat perubahan di hadapan cermin dan mengesan perubahan dengan cara berbaring.
  1. Melihat Perubahan Di Hadapan Cermin.
    Lihat pada saiz, bentuk dan keseimbangan bentuk payudara (symmetry) serta paras kedua- dua puting payudara.

    Kedudukan 1
    Tanggalkan pakaian anda pada paras pinggang, dan lihat diri anda di hadapan cermin.

    Kedudukan 2
    Angkat kedua- dua tangan ke atas kepala anda. Periksa payudara anda dari berbagai sudut.

    Kedudukan 3
    Berdiri tegak di hadapan cermin dengan tangan anda di sisi. Pusing ke kiri dan ke kanan untuk mengesan sebarang perubahan pada payudara

    Kedudukan 4
    Tegangkan otot- otot bahagian dada anda dengan mencekak pinggang dan menolak ke bawah.

    Tanda- Tanda Amaran Yang Perlu Diperhatikan Semasa Pemeriksaan.
    - Benjolan di payudara atau ketiak
    - Perubahan bentuk dan saiz payudara yang luar biasa.
    - Kerutan atau lekuk yang luar biasa pada payudara.
    - Puting payudara tertarik ke dalam.
    - Perdarahan atau lelehan luar biasa dari puting payudara
  1. Mengesan Perubahan Dengan Cara Berbaring
    Langkah 1: Persediaan
    Mulakan dengan PAYUDARA KANAN. Baring mengiring ke kiri dengan membengkokkan kedua- dua lutut anda. Letakkan bantal atau tuala mandi yang telah dilipat di bawah bahu sebelah kanan untuk menaikkan bahagian yang akan diperiksa.
    Kemudian letakkan tangan kanan anda di bawah kepala.Gunakan tangan kiri anda untuk memeriksa payudara kanan anda.Gunakan tapak jari- jari anda untuk memeriksa sebarang BENJOLAN atau PENEBALAN. Periksa payudara anda dengan menggunakan kaedah- urutan menegak (Vertical Strip) dan Kaedah pusingan (Circular).

    Langkah 2: Pemeriksaan Payudara Kaedah Urutan Menegak
    Periksa seluruh kawasan payudara dalam corak urutan menegak, dari tulang selangka di bahagian atas ke garis- kutang (bra- line) di bahagian bawah; dan dari garis- tengah di bahagian bawah ketiak anda. Menggunakan tangan kiri, mulakan urutan pertama di ketiak anda. Buat pusingan ringan dan tekan kuat di tempat ini untuk merasakan sebarang benjolan atau penebalan.gerakkan tangan anda perlahan- lahan ke bawah ke arah garis- kutang menggunakan pusingan ringan dan tekan kuat di setiap tempat. Di bahagian bawah garis- kutang, bergerak lebih kurang dua sentimeter ke kiri dan terus ke arah atas menuju ke tulang selangka anda dengan melakukan pusingan dan tekanan. Bergeraklah ke atas dan ke bawah mengikut urutan dan liputi seluruh kawasan yang ditunjukkan.

    Langkah 3: Pemeriksaan Payudara Kaedah Pusingan
    Bermula di bahagian atas payudara anda, buat pusingan yang besar. Bergeraklah sekeliling payudara anda dengan memerhatikan sebarang benjolan atau penebalan yang luar biasa. Buat sekurang- kurangnya tiga pusingan kecil sehingga anda sampai ke puting payudara. Lakukan ini sebanyak dua kali, sekali dengan tekanan ringan dan sekali dengan tekanan kuat. Jangan lupa periksa bahagian bawah areola ( kawasan hitam ).

    Langkah 4: Pemeriksaan Lelehan Di Puting Payudara
    Menggunakan kedua- dua belah tangan, tekan payudara anda untuk melihat samaada terdapat sebarang lelehan luar biasa dari puting payudara.

    Langkah 5: Memeriksa Ketiak Anda
    Jatuhkan tangan kanan anda di sisi dan rasa ketiak anda dengan teliti untuk mengesan sebarang benjolan.

    PEMERIKSAAN PAYUDARA KIRI
    Mula sekali lagi dengan langkah 1 hingga ke langkah 5 untuk PAYUDARA KIRI dengan cara yang sama menggunakan tangan kanan.
Adakah Semua Benjolan Dalam Payudara Menandakan Kanser?

9 daripada 10 benjolan yang terdapat di dalam payudara bukanlah kanser. Walau bagaimanapun, anda perlu berwaspada terhadap semua benjolan dalam payudara, dan perlu berjumpa dengan doktor anda dengan segera.

RAYUAN KEPADA SEMUA WANITA

Cegah Kanser Payudara dengan melakukan PSP setiap bulan
Jadikan PSP sebahagian dari cara hidup anda.
Jika anda merasa sebarang benjolan atau perubahan luar biasa di payudara anda, sila jumpa Doktor anda segera.
INGAT! Kanser payudara boleh disembuhkan jika dikesan awal dan dirawat secepat mungkin.

FAKTOR-FAKTOR RISIKO
Penyebab utama kanser payudara masih belum diketahui dan dipercayai bahawa lebih daripada satu faktor yang mengakibatkannya. Pakar pengkaji percaya bahawa faktor penyebab termasuk faktor genetik dan faktor alam sekitar.

Keutamaan telah ditumpukan kapada individu yang mempunyai risiko tinggi. Berapa sebab telah pun dikaji dengan teliti. Apakah implikasi mengenalpasti faktor-faktor risiko kanser payudara. Faktor-faktor risiko yang sudah diketahui akan membolehkan individu yang berisiko tinggi menerima manafaat daripada kawalan rapi iaitu daripada pemeriksaan rapi klinikal dan pemeriksaan mammografi. Walaubagaimanapun, wanita yang tidak mempunyai faktor-faktor risiko boleh menghidapi kanser. Jadi, faktor-faktor risiko tidak boleh memberi ramalan yang tepat.

Pesanan utama
1.
Mengetahui faktor risiko akan memutuskan sama ada anda perlu atau tidak pemeriksaan saringan.
2.
Sekiranya anda tidak mempunyai faktor-faktor risiko tidak bermakna anda selamat. Ramai wanita yang mengidapi kanser tidak mempunyai riwayat keluarga atau mempunyai faktor-faktor risiko.
3.
Kanser payudara tidak boleh dicegah dan strategi utama adalah pengesanan awal dan rawatan sebelum kanser itu merebak

Faktor–faktor yang dikenal pasti

Berikut adalah faktor-faktor yang telah dikenal pasti

Jantina
Kanser payudara adalah khususnya penyakit wanita (95% daripada kes kanser payudara adalah di kalangan kaum wanita).

Umur
Semakin usia meningkat semakin tinggi risiko. Wanita yang berumur kurang daripada 25 tahun jarang sekali mengidapi kanser payudara.

Perbezaan geografi
Kawasan kediaman memainkan peranan. Kanser payudara lebih didapati di negeri barat jika dibandingkan dengan negara Asia atau Afrika.

Riwayat kanser payudara
Sekiranya anda pernah menghidapi kanser payudara, risiko ianya akan berulang meningkat 4 kali ganda

Riwayat keluarga dan faktor genetik
Sekiranya seorang wanita mempunyai ibu atau adik beradik perempuan (waris perempuan terdekat) yang pernah menghidapi kanser payudara pada usia yang agak muda, risiko ia akan menghidapi kanser payudara akan meningkat 2 kali ganda dan risiko ini akan meningkat 4 kali ganda sekiranya 2 atau lebih waris terdekat menghidapi kanser payudara.

Untuk lelaki, risiko meningkat sekiranya, bapa, adik beradik lelaki atau anak lelakinya menghidapi kanser payudara. Saudara mara seorang lelaki yang menghidapi kanser payudara mempunyai risiko tinggi. Ada laporan yang mengatakan 60% lelaki pengidap kanser payudara mempunyai saudara wanita yang menghidapi kanser payudara. Usia mereka ketika menghidapi kanser penting diketahui.

Hanya 5-10% wanita yang menghidapi kanser payudara mempunyai faktor-faktor genetik. Pada tahun 1990 gen BRCA1 ditemui dan diikuti berapa tahun kemudian dengan gen BRCA2. Sekiranya salah satu gen tersebut didapati, risiko akan meningkat sebanyak 85%

Gen BRCA1 mempunyai kaitan dengan kanser ovari. Gen ini bukan suatu gen yang berlebihan tetapi merupakan suatu gen yang berubah mengakibat munculnya kanser payudara. Wanita yang ada gen BRCA1 mempunyai riwayat keluarga di mana beberapa generasi menghidapi kanser pada usia yang muda dan kanser didapati pada kedua-dua payudara. Walaubagaimanapun, terdapat wanita yang ada gen BRCA1 di mana saudaranya tidak menghidapi kanser payudara.

Sindrom Li-Frameni adalah sejenis kanser payudara yang jarang berlaku dan dikaitkan dengan gen p53. Kanser pada pesakit-pesakit ini dikaitkan dengan ketumbuhan tisu lembut, tulang, otak dan kelenjar adrenal.
Adanya riwayat penyakit payudara
Ini meliputi semua keadaan di mana terdapat sel-sel abnormal. Wanita di mana sel-sel agak abnormal iaitu hiperplasia atypical mempunyai kadar risiko 4 kali ganda menghidapi kanser payudara. Begitu juga dengan penyakit fibrosistik atau penyakit proliferatif.
Riwayat haid
Sekiranya seorang wanita baligh pada usia sebelum 12 tahun atau putus haid selepas 55 tahun, risiko ia menghidapi kanser meningkat 2 atau 3 kali ganda. Ini berkaitan dengan fasa kesuburan dan pendedahan terhadap pengaruh hormon oestrogen.

Jumlah anak
Seorang wanita yang tidak mempunyai anak atau tidak pernah hamil selepas umurnya 30 tahun mempunyai risiko tinggi menghidapi kanser payudara. Ini mungkin ada kaitan dengan pusingan haid yang tidak terganggu.

Pendedahan radiasi
Pendedahan radiasi seperti sinar-X semasa usia atau sebelum usia 30 tahun boleh meningkatkan risiko terhadap kanser payudara tetapi pendedahan seperti ini jarang sekali berlaku
Pendedahan kepada letupan bom atom boleh meningkatkan risiko sebanyak 3 kali ganda. Risiko radiasi diperolehi daripada data pendedahan tinggi seperti mangsa letupan bom atom, pelombong uranium, mangsa pendedahan gas radon, pesakit tuberculosis yang pernah mengalami floroskopi ulangan (satu cara pemeriksaan yang tidak dilakukan lagi) dan pesakit yand didedahkan radiasi untuk rawatan penyakit mastitis dan penyakit Hodgkins. Dos yang didapati merangkumi 250mGy – 20Gy (25 sehingga 2000rads). Dos seperti ini tidak digunakan semasa pemeriksaan diagnostik
Status socioekonomi
Status socioekonomi tinggi akan meningkatkan risiko kanser payudara. Ini berkaitan dengan usia semasa baligh, usia semasa putus haid, usia ketika hamil anak pertama dan juga pemakanan

Pemakanan
Pemakanan telah dikatakan mempengaruhi kadar kanser di antara negara-negara. Walaubagaimanapun kajian telah menunjukkan bahawa kaitan antara kadar kanser payu dara dan pemakanan adalah lemah atau tidak secara langsung. Pengambilan minuman beralkohol telah membuktikan peningkatan risiko 1.4 sehingga 2.0 kali ganda.

Saiz tubuh
Wanita yang gemuk selepas putus haid mempunyai risiko yang meningkat. Ini adalah kerana lemak mengandungi oestrogen dan pada wanita seperti ini paras oestrogen lebih tinggi
Pil perancang dan terapi hormon gantian (THG)
Pengambilan pil perancang pada jangka masa yang lama dikaitkan dengan peningkatan risiko dalam lingkungan 1.2 kali. Rawatan hormon gantian (THG) dalam bentuk campuran oestrogen dan progestogen sering diberikan. Dos oestrogen yang diberikan adalah rendah dan risiko kanser akan meningkat 1.8 kali hanya selepas penggunaan selama 5 tahun. Selepas 5 tahun risiko meningkat 2.6 kali.

Keputusan untuk menerima rawatan THG bergantung kepada berapa faktor. Data mengenai manafaat terhadap penyakit kardiovaskular dan penyakit osteoporosis makin menggalakkan.THG juga bermanfaat kepada wanita yang mempunyai gejala gejala putus haid seperti ‘hot flush’ dan perubahan perasaan.

Kanser payudara yang dikaitkan dengan THG didapati mudah dirawati dan kurang merebak. Ini mungkin kerana wanita-wanita ini lebih sering melakukan mamogram dan kanser dikesan lebih awal. Walaubagaimanapun implikasi risiko dan faedah penggunaan THG perlu dikaji dengan teliti.
Penggunaan THG dipertimbangkan apabila faedah mengambilnya adalah melebihi risikonya.
Penyusuan
Kajian telah menunjukkan bahawa tidak ada kaitan antara penyusuan dan kanser payudara. Penyusuan tidak memberikan apa perlindungan. Kajian Carolina Breast Center pada tahun 1999 telah menunjukkan bahawa penyusuan merendahkan sedikit risiko terhadap kanser payudara di kalangan wanita yang boleh hamil (child bearing). Kajian ini juga memperingatkan wanita jangan melakukan penyusuan hanya sebagai perlindungan untuk kanser payudara. Penyusuan harus dilakukan kerana manfaat kepada kedua dua ibu dan bayi.


TANDA-TANDA KANSER PAYUDARA
Bagi ramai wanita, kanser payudara dikesan sebagai satu ketumbuhan yang tidak sakit. Walaubagaimanapun, terdapat tanda-tanda yang lain yang harus diketahui.

Payudara
-
Perubahan saiz dan rupa
-
Lekuk pada kulit
-
Ketulan atau penebalan
Puting
-
Puting berdarah (jarang berlaku)
-
Ruam di puting dan di persekitaran kulit (jarang berlaku)
-
Puting tertarik ke dalam
-
Ketulan atau penebalan terutama jika terdapat juga cecair keluar daripada puting
-
Penghasilan cecair daripada puting adalah biasa dan selalunya akibat masaalah payudara yang tidak mudarat. Keadaan boleh membimbangkan sekiranya puting berdarah.
-
Penyakit Paget di payudara ada kaitan dengan kanser payudara
-
Ruam di puting atau sekitaran puting boleh akibat daripada eczema. Sila jumpa doktor anda untuk mendapat kepastian
-
Puting tertarik kedalam adalah satu keadaan normal dan semula jadi pada setengah wanita. Walaubagaimanapun sekira keadaan ini baru berlaku dan tanpa sebab, anda harus berjumpa doktor anda.


Lengan

-
Ketulan atau bengkak di atau sekitar ketiak

Rasa Sakit

Kesakitan di payudara atau mastalgia perlu diberi tumpuan khas kerana kesakitan adalah sebab utama wanita melakukan pemeriksaan sendiri payudara, menjadi cemas dan berjumpa dengan doktornya.
Walaubagaimanapun, kesakitan dalam payudara selalunya bukanlah gejala kanser payudara. Ramai wanita merasakan payudaranya berketul dan sakit sebelum haid. Sakit juga biasanya disebabkan oleh perubahan fibrosistik yang tidak mudarat.

Kelainan Dalam Perkembangan Payudara dan Perubahan Mengikut Usia

Perbincangan mengenai gejala dan tanda-tanda kanser payudara tidak akan lengkap tanpa menyentuh mengenai penyakit-penyakit payudara yang lain yang tidak mudarat. Semasa penyiasatan kanser payudara, penyakit-penyakit tersebut mungkin dijumpai.

Disepanjang hayat, seorang wanita akan mengalami berbagai perubahan pada payudara. Ini termasuk perubahan semasa haid dan juga timbulnya berapa jenis ketulan yang tidak mudarat. Apabila proses perkembangan dan perubahan ini menjadi berlebihan atau lebih ketara, barulah ianya dikatakan penyakit dan anda akan merasai gejalanya. Apa yang penting ialah kebanyakannya bukanlah kanser. Dianggarkan 80-90% ketulan payudara yang memerlukan biopsi bukanlah disebabkan oleh kanser.

Semasa umur antara 15-25 tahun, ketumbuhan seperti fibroadenoma boleh didapati akibat pengaruh hormon kepada berbagai tisu dalam payudara. Keadaan ini boleh mengkibatkan timbul lebih daripada satu ketumbuhan atau sesuatu ketumbuhan itu boleh mencapai saiz yang besar. Kedua-dua payudara juga boleh membesar lebih daripada normal (hipertropi remaja).

Semasa umur antara 25-40 tahun, terdapat pula pengaruh hormon yang berlebihan sehingga mengakibatkan kesakitan berkala semasa pusingan haid, dan timbul ketulan-ketulan yang mungkin dapat dirasa dengan jelas dan terasing.

Semasa umur antara 35-55 tahun, mungkin akan terjadi sista (cyst), pelebaran saluran susu, perubahan fibrosis di sekitar saluran susu dan juga inflamasi. Sel-sel dalam tisu payudara juga boleh mengalami perubahan sama ada ianya akan bertambah berlipat ganda atau menimbulkan sel-sel yang atipikal atau luar biasa.
SUMBER DARIPADA WIKIPEDIA dan YAHOO!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan